Pusat Islam,
Politeknik Sultan Idris Shah
Sungai Lang,
45100 Sungai Air Tawar,
Selangor Darul Ehsan.

email : pu_psis@hotmail.com

19 July 2010

Jom Kenali Sya'aban?

Bismillah.
Apa khabar saudara/ri Islam sekalian?
Subhanallah.
Sedar tak sedar,hari berganti hari.
Bulan juga berganti bulan.
Alhamdulillah, kita sudah pun memasuki bulan Syaaban.
Tak sabar rasanya menantikan pula kehadiran Ramadhan.^^

Disini,dikongsikan sedikit maklumat mengenai bulan mulia ini..
Jom kenali Syaaban?..




Pengenalan

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada
beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama
itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut
tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW
bertanya kepada sahabat-sahabatnya,
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?”
Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui”
Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah
kebaikan yang banyak sekali.

(Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan
takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari.
Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban
kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika
itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari
air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia
dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan
tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan
ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga.
Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk
persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan
Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang
tersendiri antaranya:

1. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas
kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan
bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.

2. Keperkasaan dan ketinggian.

3. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan
ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.

4. Kasih-sayang dan kemesraan.

5. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan
oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.


********


Fadhilat Syaaban


Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

* Memperbanyakkan puasa sunat sebagaimana yang telah
dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar
untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan
bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi
kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan
puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis
yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya:
"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan
tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada
akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala
seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang
beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan
apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."


* Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Sabda Rasulullah S.A.W.:"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban,
bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari
perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya
dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala \
macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)


* Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu,
dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."


Peristiwa Penting

1. Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW
bersabda maksudnya: "Telah datang Jibril a.s pada
malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada malam
ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka,
maka berdirilah dan kerjakan solat lalu angkatlah kepalamu
dan kedua tanganmu ke langit !" Kata saya (Nabi Muhammad) :

"Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab:
"Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat,
maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak
mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir,
bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan,
peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba,
orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua,
orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan
orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka
sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya
sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang
lagi atas perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan
sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca:
"Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu
dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu,
sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri,
maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha."

(Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin)

2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam,
Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis.
Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah
benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah
meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan
dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada
Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar
terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah
baru dari Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan
Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu.
Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap
ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap
Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang
mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’.
Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah
dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi.
Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan
berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh
seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah
turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi
yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H.
Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan,
termasuklah salah seorang putri pemuka Bani Mustaliq
yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah
Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz
bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris
bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais.
Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik,
ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais,
setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta
tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW
untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui
membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais
dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti
nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW
ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika
itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq
yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan
di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

Marilah bersama-sama kita memperbanyakkan amalan pada bulan
Syaaban ini kerana padanya terdapat banyak kelebihan dan
keutamaan yang mesti direbut.Sekian, selamat beramal. ^^

Sumber: Syaaban: Ada Apakah Padanya?

Pilihan

0 comments: