Pusat Islam,
Politeknik Sultan Idris Shah
Sungai Lang,
45100 Sungai Air Tawar,
Selangor Darul Ehsan.

email : pu_psis@hotmail.com

26 February 2010

Menghayati Maulidur Rasul

Melalui catatan sejarah, kita sedia maklum bahawa sebelum kedatangan syiar Islam, masyarakat pada masa itu hidup dalam kejahilan dan kegelapan. Kehidupan yang dikuasai oleh hawa nafsu menyebabkan kemungkaran, kezaliman dan kemaksiatan yang berleluasa. Orang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah dan undang-undang pula hanya mengikut hawa nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga manusia bercelaru dan hilang pedoman.

Dalam keadaan hidup yang penuh kejahilan itu, Rasulullah s.a.w. telah diutus oleh Allah s.w.t untuk membawa ajaran agama Islam yang benar. Rasulullah s.a.w. adalah manusia pilihan yang diutus oleh Allah s.w.t bukan setakat untuk membawa dan memimpin kaumnya iaitu kaum Quraisy ke jalan yang lurus dan diredhai Allah, bahkan untuk seluruh umat manusia yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesabaran baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam di seluruh pelusuk dunia.

Sesungguhnya perjuangan baginda dalam menyebarkan agama Islam telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan antaranya penghinaan, ejekan, cemuhan, bantahan, penyiksaan, penindasan, kezaliman dan sebagainya. Namun baginda tetap tabah dan sabar menghadapinya walaupun setelah berbelas tahun lamanya. Baginda tidak pernah jemu dalam menyebarkan agama Islam jauh sekali untuk berputus asa. Bukan itu sahaja, bahkan apa yang menimpa dirinya turut dirasai oleh para sahabat dan pengikut baginda.

Sesungguhnya kecintaan, kepercayaan, pembelaan, dan kesetiaan para sahabat dan pengikut baginda amat mengkagumkan kita. Semua itu adalah kerana mereka sangat saying dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban nyawa dan harta pada jalan Allah. Oleh itu, sudah sepatutnya kita turut mencontohi kecintaan dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat. Mengasihani baginda bukan sekadar ucapan di mulut sahaja tetapi buktikan ia dengan mentaati ajaran yang dibawa oleh baginda, berselawat ke atas dirinya serta kita teruskan perjuangan baginda dengan menyebarkan dakwah Islamiah serta kita teruskan perjuangan baginda dengan menyebarkan dakwah Islamiah serta memeliharanya dari sebarang cubaan atau ancaman yang hendak melemahkan kesatuan dan akidah umat Islam.

Akhirnya marilah kita senantiasa mengingati jasa serta pengorbanan Rasulullah s.a.w. dengan mentaati ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Kita perbanyakkan selawat dan menjaga syiarnya.

0 comments: