Pusat Islam,
Politeknik Sultan Idris Shah
Sungai Lang,
45100 Sungai Air Tawar,
Selangor Darul Ehsan.

email : pu_psis@hotmail.com

02 November 2009

Muhasabah sebagai "Charger" Kehidupan

Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang dhaif. Walaupun manusia dianggap sebagai sebaik-baik ciptaan, ia tidak dicipta sempurna dalam segenap sudut. Dalam kedhaifan itu, Allah menghantar Rasul sebagai pembawa kebenaran dan membekalkan al-Quran sebagai panduan.

Kehidupan di dunia ini penuh pancaroba dan cubaan. Adakala manusia berjaya mengharunginya dan adakalanya manusia tewas. Ramai orang tertipu dengan kehidupan dunia yang sementara ini. Bagi seorang pejuang, hidup di dunia ini hanyalah sementara dan ia akan ditinggalkan untuk beralih ke alam yang kekal abadi.

Dalam menyelusuri kehidupan seorang pejuang, sudah pasti lebih banyak dugaan yang dihadapi. Lebih banyak daripada manusia yang biasa. Di samping tugas dan bebanan yang sememangnya agak berat untuk ditanggungi, pejuang merupakan ikon agama kepada orang kebanyakan. Sudah pasti perkara ini agak mencabar kemampuan pejuang. Islam yang diperjuangkan dan al-Quran yang ingin didaulatkan memerlukan roh perjuangan yang kuat dan stabil.

Suatu perkara yang wajar dilakukan oleh seorang pejuang ialah sentiasa menilai dan memuhasabah diri sebagai charger kehidupan. Ini selaras dengan kata-kata Saidina Umar :

Hisablah (muhasabahlah) diri kamu sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalan kamu sebelum ia ditimbang”

Kita tidak lepas daripada alpa dan lalai. Lantas amatlah wajar kita sentiasa menilai diri kita sejauh mana kesungguhan kita dalam mentaati Allah. Apakah kita masih layak digelar hamba Allah sedangkan kita pun tidak tahu siapa Allah di hati kita? Apakah kita layak untuk mengaku sebagai ummat Nabi Muhammad sedangkan amalan sunnahnya diambil begitu enteng oleh kita? Apakah kita masih layak untuk menganggap kita sebagai pejuang di jalan Allah sedangkan perangai dan akhlak sama sahaja seperti orang yang merempat tiada tarbiah? Adakah amalan kita dah mencukupi sebagai tanda syukur dan terima kasih kita kepada Allah yang memberi nikmat kepada kita? Seandainya kita masih belum melepasi soalan-soalan asas itu, kita sendiri boleh menilai berapa ‘bintang’ yang boleh diberi kepada kita.

Muhasabah dan menilai mampu membangkitkan semangat dalam diri kita untuk terus berubah dan menjadi yang lebih baik dalam kehidupan. Muhasabahlah yang akan menjadikan diri kita terlalu kerdil di sisi Allah dan tidak ego apabila berdamping sesama manusia. Amalan muhasabah ini sekiranya ditinggalkan, mungkin akan menyebabkan kita lalai lalu gagal dalam mendepani cabaran hidup. Ramai antara orang yang menganggap diri mereka sebagai pejuang sering melupakan muhasabah. Maka tidak hairanlah banyak orang bercakaran sesama sendiri walaupun mereka semua pada asalnya ‘ingin memperjuangkan Islam’. Ego dan sombong akan menguasai diri dan tawadhu’dan rendah diri akan hilang.

Muhasabah sebagai charger kehidupan adalah bertujuan supaya kita sentiasa merendah diri, berkasih sayang sesama kita dan menjauhi sifat ego. Ia juga akan menjadi penyuntik semangat kepada kita supaya terus menguatkan dan memperbaiki diri serta amalan ruhiyyah yang mungkin pada pendapat sebahagian orang ia adalah enteng. Semoga dengan amalan muhasabah ini akan sentiasa mengecas bateri kehidupan kita yang seringkali ‘kong’ apabila banyak digunakan.

http://ilmuanmuda.wordpress.com

0 comments: